KAMERA AWAS SEMAKIN MAJU. KINI DAH TAK BOLEH BERLAKON PANDU PERLAHAN DEPAN KAMERA DAH.

Adakah anda adalah salah seorang pemandu kereta yang menggunakan aplikasi Waze semata-mata nak tahu lokasi ‘speedtrap’? Atau jenis pemandu yang hanya ‘berlakon’ memandu perlahan dan penuh sopan di jalan raya apabila berada di kawasan yang ada kamera perangkap laju? Ini mungkin berita yang tidak baik untuk anda!

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan bahawa kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik yang mana ia mampu ‘menangkap’ mana-mana pesalah yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan. Maksudnya, walaupun pesalah sudah sehabis baik berlakon memandu perlahan semasa melalui kawasan yang mempunyai kamera AwAS, namun teknologi kamera masih mampu memantau kelajuan sesebuah kenderaan secara purata dengan pelaksanaan kaedah antara dua titik (point-to-point).

Sumber imej: mycarsearch.com.my

Jadi, purata kelajuan sebenar sesebuah kenderaan itu akan dikira melalui dua titik kamera mengikut jarak dan masa perjalanan. Oleh itu, kalau pemandu tersebut memandu dari titik A ke B dalam masa yang sangat singkat, maka sudah tentu pemandu tersebut sebenarnya memecut melebihi had laju yang ditetapkan dan lakonannya akan kantoi serta-merta. Jika sudah terkantoi, maka pemandu tersebut akan menerima ‘surat cinta berbayar’ daripada pihak berkuasa.

Sumber imej: motoringoffencelawyers.com

Menurut Anthony Loke, pelaksanaan kaedah baharu ini akan dilakukan di kawasan yang berisiko tinggi dan berbahaya, contohnya di kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak di Genting Sempah, juga di Terowong Menora, Ipoh yang mana kawasan tersebut mencatatkan antara kes kemalangan maut tertinggi di Malaysia. Jelas beliau lagi, objektif pelaksanaan kaedah baharu ini adalah untuk memastikan pemandu kenderaan di negara ini lebih berhati-hati, lebih berdisiplin serta menjaga had laju masing-masing.  

Sumber imej: nst.com.my

Sebenarnya, kaedah ini sangat bagus jika dilaksanakan supaya pemandu di Malaysia tidak memecut sesuka hati. Kadang-kadang naik seriau tengok pemandu kenderaan di Malaysia yang memecut laju di lebuh raya ibarat mereka memandu sebuah Ferrari. Laju-laju nak ke mana?

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *