Ingat Selamanya ‘Free’ Ke? Pemilik EV Pun Bakal Kena Bayar Cukai Jalan.

Jika sebelum ini semua kenderaan elektrik (EV) di Malaysia tidak perlu membayar cukai jalan sedangkan kenderaan lain semuanya perlu bayar cukai yang tinggi, namun nampaknya nikmat cukai jalan ‘percuma’ itu tidak lama. Ini kerana pada awalnya kerajaan menetapkan pengecualian cukai hanya untuk meningkatkan penggunaan EV yang dilaksanakan pada 1 Januari 2022. Disebabkan selepas beberapa tahun EV mula mendapat permintaan di pasaran Malaysia, maka pihak kerajaan tidak lagi bercadang untuk melanjutkan pengecualian cukai jalan EV selepas 31 Disember 2025.
Bukan hanya desas-desus, kerana perkara ini telah didedahkan sendiri oleh Tengku Zafrul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam jawapan bertulis beliau di Parlimen kepada Jimmy Puah, Ahli Parlimen Tebrau pada 25 Februari yang lalu.

Menurut Kementerian Pengangkutan pula, sebenarnya kadar struktur cukai jalan baru untuk kenderaan elektrik di Malaysia adalah jauh lebih rendah berbanding kadar asal (lama) yang diperkenalkan pada tahun 2009. Contoh kadar cukai jalan untuk EV adalah seperti berikut:

Contoh yang mudah adalah untuk EV sedan seperti Ora Good Cat, Neta V dan BYD Seal yang mempunyai output 80Kw dan ke bawah, kadar cukai jalan adalah seperti berikut:
| Watt Motor | Kadar Tetap |
| Kurang daripada 50 kW | RM 20.00 |
| 50 kW hingga 60 kW | RM 44.00 |
| 60 kW hingga 70 kW | RM 56.00 |
| 70 kW hingga 80 kW | RM 72.00 |
Jadi, sekiranya anda menggunakan Ora Good Cat dengan bateri 47.8 Kw, maka cukai jalan tahunan anda hanyalah sekitar RM 20 sahaja. Jika anda baru sahaja merancang untuk memiliki sebuah Proton e.MAS Premium, cukai jalan anda pula hanya sekitar RM 180. Jika nak yang lebih mewah seperti Mercedes-Maybach EQS 680 pula agak mahal sekitar RM 1,840 setahun sebab output kuasanya tinggi iaitu 484Kw. Tapi kalau dah mampu beli kereta tu, mustahil tak mampu nak bayar harga cukai jalan kan?




