5 Kereta Di Malaysia Dengan Nilai Jualan Semula Tertinggi (Harga Tak Jatuh)

Selalunya, kita akan membeli kereta mengikut kemampuan, penggunaan, prestasi dan juga rekabentuk sesebuah kenderaan itu. Namun, tak ramai yang begitu peka dengan harga jualan balik (resale value) atau tentang susut nilai sesebuah kenderaan di Malaysia. Sebab itu ramai antara kita yang beli kereta mahal, tapi bila nak jual balik kereta tu tak laku sebab jatuh harga atau susut nilainya terlalu ketara.

Jadi, antara banyak-banyak kenderaan di Malaysia, yang mana mempunyai nilai jualan semula yang terbaik? Kiranya kalau jual harganya tak jatuh. Jom tengok senarai di bawah:

5) MINI COOPER S 5-DOOR

Sumber imej: motomalaysia.com

Berada di tempat ke-5 ialah kereta yang menjadi idaman ramai, khususnya kaum wanita di Malaysia. Tahukah anda bahawa kereta ini masih mempunyai nilai jualan semula yang agak bagus walaupun selepas beberapa tahun berada di pasaran? Bayangkan kereta Mini Cooper S 5-Door baharu pada tahun 2018 dijual pada harga RM 256,888 dan lima tahun kemudian pada tahun 2023, nilai kereta ini masih tinggi, iaitu sekitar RM 180,000. Jadi, dengan anggaran susut nilai sekitar 35.02 % (atau turun RM 76,000) selepas lima tahun, sememangnya Mini Cooper S 5-Door tak jatuh harga sangat jika nak dibandingkan dengan kereta mewah lain seangkatan dengannya.

4) PERODUA ALZA

Sumber imej: azzumar2u.com

Berada di tangga keempat ialah sebuah MPV kesayangan rakyat Malaysia, iaitu Perodua Alza. Bukan sahaja harganya mampu milik, namun MPV ini turut memberikan keselesaan dan ciri penting kepada keluarga yang agak besar. Yang menariknya, anggaran susut nilai MPV ini sangat hebat, iaitu sekitar 34.58 %. Perodua Alza baharu yang dijual lima tahun lepas bernilai sekitar RM 62,000 dan jika dijual balik pada tahun 2023, harganya masih agak tinggi iaitu sekitar RM 43,000. Jadi jangan melenting kalau kena lampu tinggi oleh MPV ni kat lebuhraya. Mungkin pemiliknya nak cakap yang harga keretanya tak jatuh.

3) VOLKSWAGEN GOLF GTI

Sumber imej: cnet.com

Berada di tempat ketiga adalah kereta sport kegilaan ramai peminat kereta. Tak lain tak bukan ialah Volkswagen Golf GTi. Dengan saiz badan yang kecil, namun mempunyai prestasi yang memukau, kereta ini masih lagi tersangat laku di pasaran. Dengar kata, kereta Volkswagen Golf GTi terjual setiap 40 saat? Hebat tak? Kini sudah pun masuk generasi ke-8 atau MK8, tahukah anda bahawa generasi terdahulu pun masih lagi tak jatuh harga? Harganya jika lima tahun lepas adalah sekitar RM 246,000 dan lima tahun kemudian nilai susut cuma sekitar 31.98 % iaitu pada RM 167,000. Masih lagi di dalam lingkungan harga di atas ‘mampu milik’. Jadi pada yang minat gila pada Volkswagen Golf GTi tapi tak mampu beli dengan harga lebih RM 100,000 mungkin anda kena tunggu sampai 10 tahun la kot.

2) TOYOTA HILUX

Sumber imej: Toyota.com.my

Siapa tak kenal ‘abang sado’ yang sering dipanggil Hilak oleh rakyat Malaysia ni? Ternyata trak pikap paling popular di Malaysia ini bukan sahaja tersenarai sebagai trak pikap paling laku, malah harganya juga tak jatuh. Jika kita bandingkan, Toyota Hilux tahun 2018 dijual pada harga RM 136,000 dan pikap trak yang sama masih lagi ada harga walaupun selepas lima tahun, iaitu sekitar RM 100,000. Dengan anggaran susut nilai hanya 25.98 %, memang faham sangat la kenapa kereta ini sangat kerap dicuri di Malaysia. Sebab laku keras dan harganya tak jatuh!

1) TOYOTA C-HR

Sumber imej: Toyota.com.my

Tempat pertama sebagai kenderaan paling tak jatuh harga di Malaysia ialah sebuah SUV, iaitu Toyota C-HR. Walaupun agak kurang popular di kalangan rakyat kita (mungkin sebab ianya sebuah SUV dengan 3 pintu) namun sebenarnya SUV ini menunjukkan kejayaan yang sangat hebat di seluruh dunia. Disebabkan Toyota C-HR dibina di atas Platform New Global Architecture (TNGA) Toyota, ternyata alat ganti untuk SUV ini sangat mudah diperoleh yang membuatkan nilai jualan semulanya kekal tinggi. Jika harganya pada tahun 2018 ialah  sekitar RM 149,000, bagi tahun 2023 SUV yang sama masih lagi berharga sekitar RM 112,000. Susut harga cuma sekitar 24.82 %. Menarik bukan?

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published. Required fields are marked *