Kebiasaanya, memang manusia suka memandang dan menghakimi seseorang daripada luarannya. Kalau memakai pakaian berjenama terus dicop sebagai kaya. Sama seperti kejadian yang berlaku di Indonesia ni. Apabila ada seorang lelaki tua yang berpakaian selekeh dan lusuh, dianggap sebagai si miskin. Bahkan, pengawal keselamatan yang melihatnya juga hanya menyangka bahawa lelaki tua tersebut ialah pengemis.
Tak lama kemudian, lelaki warga emas yang berusia 69 tahun itu dibawa untuk berjumpa dengan salah seorang pegawai jualan di PT Mandiri Zirang Utama selepas beliau menyatakan hasratnya untuk memiliki sebuah kereta dari pusat jualan tersebut. Pegawai tersebut, Dezy Ais, kemudian membawa lelaki warga emas itu melihat beberapa kenderaan di dalam ruang pameran sebelum diberitahu bahawa dia akan datang semula ke kedai untuk membeli sebuah kereta Daihatsu All-New Sigra 2022 secara tunai.

Tanpa disangka-sangka, lelaki warga emas itu memang datang semula ke kedai dengan membawa wang tunai sambil duduk di lantai untuk mengira wangnya selama hampir tiga jam. Selepas yakin bahawa wang tunai yang dimiliki mencukupi, beliau terus membuat pembayaran sebanyak 180.4 juta rupiah (RM 54,300) secara tunai dan membawa pulang kereta Daihatsu All New Sigra 2022 berwarna putih.

P/S: Bukan macam sesetengah daripada kita yang sanggup ikat perut nak bayar ansuran kereta mewah semata-mata nak berlagak kaya. Walhal kereta tu masih lagi milik bank. Kalau tak bayar kereta kena tarik pula. Malunya…..




