
Tanggal 11 April 2023, Mahkamah Rayuan telah melepas dan membebaskan wanita tersebut, Sam Ke Ting, 28, atas kesalahan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak pada tahun 2017. Dalam perbicaraan itu, ketiga-tiga panel hakim, iaitu Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah, telah sebulat suara mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda sebanyak RM 6,000 ke atas Ke Ting, selaku perayu.

Menurut keputusan penghakiman, Mahkamah Majistret telah membuat penilaian secara maksimum yang melibatkan semua sudut dan percaya kemalangan tersebut sangat mustahil untuk dielak oleh perayu. Ini kerana, dalam kejadian sekitar 3.20 pagi pada 18 Februari 2017 itu, laluan kejadian adalah gelap, laluan kereta mendaki bukit dan lampu jalan pula ditutupi pokok. Maka, apabila terdapat 30 hingga 40 basikal di kawasan tersebut yang sepatutnya bukan laluan basikal, sememangnya membuatkan Sam Ke Ting tidak mampu mengelak sehingga berlakunya kemalangan dalam hanya sekelip mata.

Dalam pada itu, walaupun gembira dengan keputusan mahkamah yang membebaskannya dari tuduhan tersebut, Sam Ke Ting turut memohon maaf kepada keluarga mangsa dan berkata bahawa kejadian itu telah menghantui dirinya sejak enam tahun lalu. Manakala bagi keluarga mangsa pula, mereka kecewa namun akur dengan keputusan mahkamah dan berharap agar mereka (keluarga mangsa dan Sam Ke Ting) mampu meneruskan kehidupan dan merawat emosi mereka yang trauma dan dihantui dengan tragedi tersebut seumur hidup.
P/S: Didoakan semoga keluarga mangsa redha dan orang ramai lebih peka dan prihatin tentang bahaya bermain basikal lajak. Pantau anak-anak anda dan jangan sokong minat mereka dengan membeli basikal lajak.




