
Sebuah kilang yang menghasilkan bateri untuk kenderaan elektrik dan telefon bimbit di kawasan perindustrian Bukit Rambai, Melaka dilaporkan hangus dalam sebuah kebakaran yang berlaku pada Ahad, 2 Februari 2025.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Pegawai Kanan Noor Hafizah Mohammed berkata, pasukannya telah menerima panggilan kecemasan pada 12.50 tengah hari dan seramai 30 anggota telah dihantar ke lokasi untuk misi memadamkan kebakaran. Menurut JBPM juga, apabila jentera pertama bomba tiba di lokasi kejadian, kira-kira 90 peratus premis itu sudah marak.

Exco Kerajaan Negeri Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim, Saliran dan Pengurusan Bencana Datuk Rais Yasin telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap operasi dan lesen kilang tersebut. Menurut beliau juga, ini bagi memastikan kilang itu beroperasi secara sah, mengikut prosedur keselamatan dan juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Menurut seorang lelaki yang merupakan saksi kejadian, dia sedang memandu kereta di kawasan Perindustrian tersebut sebelum terpandang asap putih berkepul di kawasan kilang tersebut. Tiba-tiba, dia melihat sebuah Toyota Alphard dipercayai pemilik kilang telah meluru keluar dari dalam kilang disusuli dengan terdengar beberapa bunyi letupan api sebelum akhirnya dia terus menghubungi pihak bomba untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.
P/S: Untuk pengetahuan, kebanyakan bateri yang digunakan oleh kenderaan elektrik (EV) adalah jenis bateri lithium-ion yang mana ia mengandungi elektrolit yang mudah terbakar. Menurut pihak bomba, api yang berpunca daripada bateri lithium amat sukar untuk dipadamkan malah belum ada satu lagi pun agen pemadaman di dunia yang boleh memadamkan kebakaran bateri litium. Lagi rumit adalah lithium itu sendiri sifatnya adalah ia mampu menyala (ignite) semula walaupun api sudah dipadamkan.





