
Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan kematian salah seorang daripada peserta perlumbaan drag tempatan, Muhammad Hafez Jamal atau turut dikenali sebagai Apeh Jamal, dalam perlumbaan Drag Battle of The Kings (BOTK) 2022. Dalam kejadian yang berlaku di Litar Drag Antarabangsa Gong Badak, Terengganu itu, mangsa memandu Mitsubishi Lancer Evolution IX dengan lebih 1,000 kuasa kuda dan meninggal dunia selepas beliau hilang kawalan dan melanggar pokok.

Namun apa yang lebih mengejutkan adalah rupa-rupanya perlumbaan drag tersebut sebenarnya tidak mendapat kelulusan Motorsports Affiliation of Malaysia (MAM). Bukan sahaja tidak mendapat kelulusan, acara Drag BOTK 2022 juga tidak dikawal-selia oleh pihak MAM. Malah, kejadian itu juga membuka mata banyak pihak bahawa ada pihak berwajib yang tidak menjalankan tugas dengan betul dengan tidak mengikut peraturan, protokol serta tidak mengikut tahap keselamatan yang ditetapkan. Tambahan lagi, untuk Litar Drag Antarabangsa Gong Badak pula, namanya sahaja gah, namun litar itu sebenarnya hanya selamat untuk motosikal.

Agak panas hati sebenarnya bila berdepan dengan insiden sebegini. Masing-masing minat sukan permotoran namun mereka alpa dengan perkara paling asas dalam dunia sukan permotoran iaitu KESELAMATAN. Tidakkah mereka tahu bahawa sukan permotoran adalah sukan yang merbahaya? Yang masuk perlumbaan itu adalah manusia. Bukannya katak! Bila dah berlaku kejadian tragis macam ni, masing-masing tak mahu mengaku salah dan lepas tangan.




