
Suzuki Swift Sport 2021 secara rasminya muncul sekitar April 2021 di pasaran Malaysia selepas pihak Suzuki menutup operasi mereka di negara ini sejak lima tahun lepas. Kali ini, jenama dari Jepun ini akan diuruskan oleh pengedar rasmi Suzuki di Malaysia, iaitu Naza Eastern Motors Sdn Bhd yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Model Suzuki Swift terdahulu selalunya diminati dan menjadi idaman kaum Hawa di Malaysia. Mungkin disebabkan oleh bentuk hatchback yang comel dan senang dipandu menyebabkan Suzuki Swift menjadi popular sebelum ni? Namun bagaimana pula penerimaan kaum Hawa tentang Suzuki Swift Sport 2021 yang mana harganya pula adalah sekitar RM 139,900 (OTR tanpa insurans)?

Model ini mungkin kelihatan agak sama dari segi bentuk luaran dengan model sebelum ini. Namun apa yang berbeza ialah bentuk terbaru kelihatan comel tapi garang. Bagi bahagian depan, ia menggunakan lampu LED dan front bumper yang agak ke dalam, selain radiatornya adalah 30 peratus lebih besar daripada model sebelum ni. Di bahagian belakang pula, model ini menggunakan emblem ‘Swift Sport’ selain mempunyai dua ekzos.
Yang penting kedua-duanya ekzos betul, bukan sekadar aksesori tambahan atau ‘fake exhaust’ untuk mencantikkan kereta semata-mata. Dari bahagian sisi, ada side skirts yang dibuat daripada karbon fibre selain dapat dilihat frame hitam untuk menonjolkan bentuk rekaan yang agak ‘sporty’. Menariknya, door handle untuk penumpang belakang pula diletakkan di bahagian atas. Warna yang ditawarkan juga agak menarik, dimana ia didatangkan dengan empat pilihan iaitu Champion Yellow, Pearl Pure White, Speedy Blue Metallic dan Burning Red Pearl Metallic.

Untuk bahagian dalaman pula, rekaannya agak simple dengan menggunakan dua warna iaitu merah dan hitam, mempunyai touchscreen display 7-inci serta push-start button. Dari segi keselamatan, kereta ini mempunyai 6 beg udara, selain mempunyai 2 ISOFIX untuk childseat, khusus buat golongan ibu bapa dengan anak kecil. But belakang pula agak kecil dengan keluasan 265-liter tapi bagi pemandu wanita yang bertubuh kecil molek, memang tiada masalah untuk loading atau unloading barang kerana kedudukan but yang rendah.
Bagaimana dengan prestasinya pula? Ingat perempuan tak kisah ke pasal prestasi kereta ni? Dari segi kelajuan, kereta ini memang tidak mengecewakan. Malah ianya mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 8 saat sahaja! Top speed pula adalah sekitar 205 km/j, dengan 140 kuasa kuda (hp) pada 5,500 rpm. Semasa test drive, memang agak kagum dengan prestasi yang diberikan. Walaupun beratnya hanya 970kg, tapi pemanduan masih terasa stabil walaupun dipandu laju. Sesuai dengan saiznya, kapasiti untuk bahan bakar bagi kereta ini agak kecil iaitu sekitar 37-liter selain kadar purata penggunaan minyak adalah sekitar 6.1-liter bagi setiap 100 km.
Kalau nak tahu dengan lebih lanjut, boleh tonton video di bawah:





