SELEPAS TIKTOK, AS BAKAL HARAMKAN KERETA DARI NEGARA INI. NEGARA MANA?
Negara yang akan diharamkan oleh Amerika adalah China & Russia.

Ramai pencipta kandungan TikTok dari Amerika Syarikat sekarang sedang berduka, tatkala negara tersebut telah mengharamkan TikTok dengan alasan aplikasi tersebut menimbulkan ancaman kesar kepada keselamatan negara AS. Ini berikutan aplikasi yang dimiliki oleh negara China itu kononnya akan menyebabkan data rakyat AS ‘bocor’ untuk kegiatan perisikan atau pemerasan. Justeru itu, AS telah menetapkan bahawa mereka akan mengharamkan platform media sosial itu di negara mereka bermula 19 Januari 2025.

Terbaharu, ketegangan geopolitik di antara China – Amerika Syarikat tidak berakhir dengan pengharaman TikTok sahaja bahkan semakin memuncak apabila AS dilihat ingin mengharamkan pula jualan kenderaan keluaran China dan Rusia. Dalam hari-hari terakhir Joe Biden sebagai presiden Amerika Syarikat, beliau telah meluluskan beberapa lagi arahan pengharaman teknologi dari negara China dan Rusia selain Rumah Putih turut memuktamadkan arahan itu dengan menharamkan jualan kereta dengan teknologi pintar dari China dan Rusia.
Senang cerita, segala bentuk teknologi dan perisian yang dibangunkan oleh sama ada China atau Rusia kelak tidak lagi boleh dibawa masuk termasuk Bluetooth, satelit, WiFi atau sistem sambungan kenderaan (VCS). Malah, mana-mana kenderaan AS juga tidak boleh dijual di pasaran domestik seandainya pengeluar menggunakan sebarang teknologi atau perisian yang mempunyai kaitan dengan negara China atau Rusia. Jadi, pengeluar kenderaan AS haruslah mencari alternatif baharu untuk sebarang komponen yang bakal digunakan kelak.

Menurut sumber, arahan pengharaman ini bukan sahaja dikenakan kepada kenderaan persendirian malah ia turut bakal dikenakan pada kenderaan komersial seperti bas dan trak dengan berat melebihi 4,500 kilogram (kg) sekaligus memberikan gambaran bahawa jenama seperti BYD turut bakal terkubur daripada berada di pasaran AS.
Bagi pendapat anda, adakah ketegangan geopolitik di antara AS – China ini turut akan memberikan kesan buruk kepada industri automotif di Malaysia secara tidak langsung kelak?




